Selasa, 10 Ogos 2010

SEJARAH SEKOLAH SRAB JB

Sekolah Rendah Agama Bersepadu Johor Bahru atau lebih dikenali dengan nama SRAB JB telah ditubuhkan pada tahun 1999 bertempat di Jalan Kerambit Taman Sri Tebrau. Memulakan operasi dengan hanya dua bilik darjah iaitu seramai 80 orang murid tahun satu, tenaga pengajar SRAB JB mengorak langkah sebagai satu institusi pendidikan alternatif kepada ibu bapa dan penjaga yang menginginkan perkembangan anak-anak dari aspek duniawi dan ukhrawi yang digarap dalam satu corak pendidikan yang bersepadu.
Pada awal penubuhannya, SRAB JB beroperasi dengan hanya menggunakan sebuah bangunan sahaja. Jabatan Agama Johor telah mengambil alih sekolah tersebut untuk dinaikkan taraf dari segi prasarana asas sesebuah sekolah rendah. Walaupun terdapat beberapa kekurangan diawal penubuhannya, berkat usaha guru-guru yang penuh iltizam dan pemantauan berkala dari pihak Jabatan Agama Johor dan Jabatan Pelajaran Johor, SRAB JB telah dikenali sebagai sebuah institusi pendidikan pilihan bagi ibu bapa dan penjaga sekitar Johor Bahru. Ini terbukti dengan pertambahan jumlah permohonan untuk kemasukan setiap tahun melalui ujian kelayakan yang diadakan.
Jabatan Agama Johor begitu mengambil berat tentang segala masalah yang dihadapi oleh SRAB JB. Berikutan dengan pertambahan kemasukan murid ke sekolah ini, Jabatan Agama Johor telah mengambil langkah untuk menambah bangunan yang menempatkan pejabat, bilik guru, bilik darjah, perpustakaan, bilik sains, bilik computer dan bilik mesyuarat sekolah. Usaha telah dimulakan pada pertengahan tahun 1999. Pada tahun 2001, berdirilah bangunan setinggi tiga tingkat yang menelan belanja sebanyak RM1.6 juta. Bangunan indah ini mula digunakan pada awal tahun 2002.
Dengan pertambahan jumlah murid maka jumlah guru juga telah bertambah dari masa ke semasa. Sebilangan besar guru berkelulusan Diploma Perguruan Malaysia, Sijil Perguruan Malaysia dan Diploma Sains Serta Pendidikan (Pengajian Islam). Guru-guru ini dipilih berdasarkan pencapaian akademik dan komitmen yang tinggi bagi memastikan objektif dan matlamat SRAB JB dicapai selaras dengan arus perkembangan pendidikan pada masa kini.
SRAB JB telah mempamerkan satu corak pengurusan pendidikan yang unik. Ini dibuktikan melalui Tabung Program Pelajar (TPP), Program Solat Jumaat, Kelas Iqra’ dan berbagai program lain yang jauh berbeza dengan sekolah-sekolah yang sedia ada. Ia adalah hasil gabungan idea dan usaha guru-guru SRAB JB yang sentiasa memikirkan hal yang terbaik bagi sekolah.
Bermottokan “BERILMU, BERAMAL DAN BERTAWAKKAL” dan berbudayakan “AKHLAK DIGILAP ILMU DIGARAP” SRAB JB terus menyinar sebagai sebuah institusi pendidikan cemerlang, gemilang dan terbilang yang sentiasa menitik beratkan perkembangan jasmani dan rohani pelajar secara menyeluruh dan bersepadu selari dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan