Powered By Blogger

Selasa, 10 Ogos 2010

Tazkirah 1 Ramadhan 1431H (11 Ogos 2010)

Sabda Rasulullah s.a.w., mafhumnya; “Alangkah hairannya bagi orang yang telah sampai umurnya kepada bulan Ramadan, apabila habis Ramadan dia tidak mengambil kesempatan untuk Allah mengampunkan semua dosa-dosanya”. (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

Allah SWT sangat suka mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya di bulan Ramadan, maka kedatangan bulan Ramadan ini merupakan satu peluang kepada hamba-hamba-Nya yang beriman untuk mendapat keampunan daripada Allah SWT.

Banyakkan Beribadat di Bulan Ramadan

Sesiapa sahaja yang mengambil peluang di bulan Ramadan dengan syarat dia beriman dan patuh kepada perintah Allah SWT serta mengharapkan ganjaran pahala dan keredhoan Allah SWT insya’Allah, dosa-dosanya yang terdahulu akan diampunkan oleh Allah. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w, mafhumnya

Dari Abu Hurairah Radliyallaahu 'anhu bahwa Rasulullah Shallallaahu 'alaihi wa Sallam bersabda: "Barangsiapa melakukan ibadah Ramadhan karana iman dan mengharap redho-Nya, maka diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu." (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Perbanyakkanlah beribadat di bulan Ramadan ini dengan bersedekah kepada fakir miskin, menunaikan zakat, menjamu orang untuk berbuka puasa, dan kalau mampu mengerjakan umrah.

Menjamu orang berbuka puasa dan mengerjakan umrah di bulan Ramadan sangat besar pahalanya, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w, mafhumnya;

”Apabila tiba bulan Ramadan, maka berumrahlah engkau, sesungguhnya umrah pada bulan tersebut (pahalanya) sebanding dengan (pahala) haji. (Hadis Riwayat Muslim)”

”Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berbuka puasa maka dia memperoleh pahala orang yang berbuka itu, dan pahala bagi yang (menerima makanan) berpuasa tidak dikurangi sedikitpun. (Hadis Riwayat Tirmidzi)”

Peluang untuk mendapat ganjaran pahala dan mendapat keampunan Allah SWT di bulan Ramadan sangat jelas, alangkah ruginya jika kita mengabaikan peluang tersebut.

Lakukan Ibadah semata-mata kerana Allah SWT

Bulan Ramadan adalah bulan Rahmah, sudahkah perasaan kita, hati sanubari kita telah sampai kepada menikmati Rahmah Allah itu? Jika amal ibadat yang kita lakukan di bulan Ramadan ini masih terasa tertekan maka Rahmah Allah tidak sampai lagi kepada kita.

Beribadatlah semata-mata untuk mencari keredhoan Allah SWT, janganlah melakukan ibadat untuk mendapat kepujian manusia kerana jika ini ada dalam hati kita maka akan termasuklah kita dalam golongan munafikun. Orang-orang munafik zahirnya sahaja Islam tetapi hatinya tidak sedikit pun beriman kepada Allah SWT. Sebagaimana Allah SWT menjelaskan perbuatan mereka, mafhum firman Allah dalam Surah An-Nisaa’ ayat 142;

Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas, mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).(An-Nisaa’:142)

Dua Kebimbangan

Mukmin yang sebenar pasti akan melalui dua kebimbangan. Kebimbangan yang pertama ialah bimbang umur yang telah lalu dan yang kedua bimbang umur yang sekarang hingga akan datang.

(a) Adakah kita berasa bimbang dengan amalan-amalan kita yang lepas tidak diterima oleh Allah? Jika ada perasaan begini, ada baiknya supaya kita akan selalu berdoa dan beristighfar kepada Allah SWT.

(b) Adakah kita pernah diuji dengan ujian yang berat dimasa lampau oleh Allah SWT? Adakah kita berasa bimbang jika diuji oleh Allah pada masa sekarang dan akan datang? Kebimbangan begini ada baiknya supaya kita sentiasa menjadi orang yang sabar menerima bala dan bersyukur dengan ni’mat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita.

Jangan gembira dan ketawa melihat orang yang jatuh, sepatutnya kita bersyukur kerana kita tidak jatuh. Ujian daripada Allah SWT bukan kesusahan sahaja, kadangkala kita diuji dengan kesenangan. Ramai yang kadangkala kecundang dengan ujian kesenangan ini.

Allah tidak mensyariatkan sesuatu syariat itu tanpa ada kebaikan padanya.

Mudah-mudahan, kita sentiasa mendapat kebaikan itu, Aamiin.



- Cikgu Ahdat memetik daripada tazkirah Dato' Dr. Haron Din

SEJARAH SEKOLAH SRAB JB

Sekolah Rendah Agama Bersepadu Johor Bahru atau lebih dikenali dengan nama SRAB JB telah ditubuhkan pada tahun 1999 bertempat di Jalan Kerambit Taman Sri Tebrau. Memulakan operasi dengan hanya dua bilik darjah iaitu seramai 80 orang murid tahun satu, tenaga pengajar SRAB JB mengorak langkah sebagai satu institusi pendidikan alternatif kepada ibu bapa dan penjaga yang menginginkan perkembangan anak-anak dari aspek duniawi dan ukhrawi yang digarap dalam satu corak pendidikan yang bersepadu.
Pada awal penubuhannya, SRAB JB beroperasi dengan hanya menggunakan sebuah bangunan sahaja. Jabatan Agama Johor telah mengambil alih sekolah tersebut untuk dinaikkan taraf dari segi prasarana asas sesebuah sekolah rendah. Walaupun terdapat beberapa kekurangan diawal penubuhannya, berkat usaha guru-guru yang penuh iltizam dan pemantauan berkala dari pihak Jabatan Agama Johor dan Jabatan Pelajaran Johor, SRAB JB telah dikenali sebagai sebuah institusi pendidikan pilihan bagi ibu bapa dan penjaga sekitar Johor Bahru. Ini terbukti dengan pertambahan jumlah permohonan untuk kemasukan setiap tahun melalui ujian kelayakan yang diadakan.
Jabatan Agama Johor begitu mengambil berat tentang segala masalah yang dihadapi oleh SRAB JB. Berikutan dengan pertambahan kemasukan murid ke sekolah ini, Jabatan Agama Johor telah mengambil langkah untuk menambah bangunan yang menempatkan pejabat, bilik guru, bilik darjah, perpustakaan, bilik sains, bilik computer dan bilik mesyuarat sekolah. Usaha telah dimulakan pada pertengahan tahun 1999. Pada tahun 2001, berdirilah bangunan setinggi tiga tingkat yang menelan belanja sebanyak RM1.6 juta. Bangunan indah ini mula digunakan pada awal tahun 2002.
Dengan pertambahan jumlah murid maka jumlah guru juga telah bertambah dari masa ke semasa. Sebilangan besar guru berkelulusan Diploma Perguruan Malaysia, Sijil Perguruan Malaysia dan Diploma Sains Serta Pendidikan (Pengajian Islam). Guru-guru ini dipilih berdasarkan pencapaian akademik dan komitmen yang tinggi bagi memastikan objektif dan matlamat SRAB JB dicapai selaras dengan arus perkembangan pendidikan pada masa kini.
SRAB JB telah mempamerkan satu corak pengurusan pendidikan yang unik. Ini dibuktikan melalui Tabung Program Pelajar (TPP), Program Solat Jumaat, Kelas Iqra’ dan berbagai program lain yang jauh berbeza dengan sekolah-sekolah yang sedia ada. Ia adalah hasil gabungan idea dan usaha guru-guru SRAB JB yang sentiasa memikirkan hal yang terbaik bagi sekolah.
Bermottokan “BERILMU, BERAMAL DAN BERTAWAKKAL” dan berbudayakan “AKHLAK DIGILAP ILMU DIGARAP” SRAB JB terus menyinar sebagai sebuah institusi pendidikan cemerlang, gemilang dan terbilang yang sentiasa menitik beratkan perkembangan jasmani dan rohani pelajar secara menyeluruh dan bersepadu selari dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.